Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Ulang Tahun Jubli Intan Perkahwinan baginda berdua, yang dianjurkan oleh Pembesar-pembesar Negara, berlangsung di Royal Berkshire Hall, Tarindak d'Polo, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
Istiadat Perkahwinan Diraja di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri telah berlangsung pada 29 Julai 1965, yang mana tahun ini menandakan Jubli Intan Perkahwinan baginda berdua.
Juga berangkat ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul 'Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam.
Keberangkatan tiba Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri serta ahli-ahli kerabat diraja di Royal Berkshire Hall dijunjung oleh Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Majlis Kesyukuran, iaitu Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; serta pasangan masing-masing.
Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri seterusnya dijunjung untuk menandatangani lembaran kenangan sebelum disembahkan dengan pesambah Kek Ulang Tahun Jubli Intan Perkahwinan Diraja, serta pesambah daripada Pembesar-pembesar Negara dan pesambah daripada Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu.
Doa Kesyukuran dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan, dan diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II.
Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menyembahkan bahawa Majlis Kesyukuran ini adalah wadah untuk menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat dan nikmat-Nya mengurniakan Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri kehidupan berumah tangga yang penuh sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (rahmat).
"Abis-abis Hamba Kebawah Duli Tuan Patik berdoa agar Allah Subhanahu Wata'ala akan terus melimpahkan kurnia dan melipatgandakan rahmat dan nikmat-Nya kepada Kebawah-kebawah Duli Tuan Patik yang berupa kesihatan tubuh badan, kesejahteraan, dilanjutkan usia, sentiasa dalam inayah dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala, dikurniakan istiqamah, taufik dan hidayah, kekal karar memerintah di atas Takhta Singgahsana Kerajaan dan memimpin Negara Brunei Darussalam (NBD) dan dikurniakan kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat," sembah Yang Berhormat.
Ulang Tahun Jubli Intan Perkahwinan Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri ini sembah Yang Berhormat, bukan sahaja menjadi ristaan sejarah NBD bahkan ia juga menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat jelata iaitu sebagai contoh teladan ikutan yang baik dalam kehidupan harmoni berkeluarga.
Majlis diserikan lagi dengan sesi ceramah khas bertajuk 'Jubli Intan Perkahwinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri: Satu Kurnia Nikmat Allah Subhanahu Wata'ala' oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan, di mana antara intipatinya adalah Jubli Intan Perkahwinan Diraja wajib disyukuri berdasarkan Al-Quran dan al-Hadis kerana ianya berlaku adalah imbalan dari iman dan kebajikan baginda berdua yang gemar menghulurkan tangan bersedekah kepada rakyat yang memerlukan.
Majlis Santap juga diiringi dengan persembahan nasyid daripada penuntut-penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan tayangan sorotan khas mengenai Ulang Tahun Jubli Intan Perkahwinan Diraja.
Pada penghujung Majlis Kesyukuran, Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berkenan menerima junjung ziarah daripada para Pembesar Negara yang hadir, yang turut memberikan peluang untuk merafak sembah ucapan tahniah Kehadapan Majlis baginda berdua sempena memperingati peristiwa penting ini.
Antara Pembesar-pembesar Negara yang berangkat dan hadir bagi meraikan majlis ini ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Menteri-menteri Kabinet; Ketua Hakim Syarie; Ketua Hakim Mahkamah Besar; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja; Timbalan-timbalan Menteri; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Ugama Islam; Hakim-hakim Mahkamah Tinggi Syariah; Hakim-hakim Mahkamah Tinggi; Setiausaha-setiausaha Tetap daripada JPM, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; serta Pegawai-pegawai Daerah.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto